Johan Raja Lawak Kongsi Kisah Suka Duka Sebelum & Selepas Popular Yang Buat Ramai TERPANA !!! |CANTIK pejabat Johan, memang selalu luangkan masa di sini? Kenapa syarikat ini dinamakan JWH?

loading...

Johan Raja Lawak Kongsi Kisah Suka Duka Sebelum & Selepas Popular Yang Buat Ramai TERPANA !!! |CANTIK pejabat Johan, memang selalu luangkan masa di sini? Kenapa syarikat ini dinamakan JWH?

Alhamdulillah, saya ubah suai pejabat ini sedikit demi sedikit menggunakan wang sendiri. Habis sahaja kerja di radio Era FM, saya akan ke sini. Di sini juga tempat saya menonton bola dan bermain Play Station. Pejabat ini digunakan untuk menyelenggara urusan seni saya selain production house kami. Nama JWH adalah singkatan Johan, Wati (nama isteri) dan Hanania.
Bagaimana rutin seharian Johan? Kehidupan Johan nampak relaks?
Sekarang, masa saya banyak untuk keluarga. Bangun Subuh memang rutin biasa sebab harus sampai di pejabat Era FM sebelum jam enam pagi. Habis ke udara tengah hari, saya akan ke pejabat atau terus pulang ke rumah. Malam, jam sembilan ke 10, saya perlu masuk tidur. Sebab, dah tahu esok kena kerja seawal Subuh. Sebab itu, saya banyak tolak kerja dengan produksi lain sebab tidak mampu commit dengan jadual mereka.
Kalau kerja untuk produksi sendiri, saya boleh adjust masa saya ikut keselesaan sendiri. Walaupun ada yang kata tak apa, mereka boleh adjust ikut jadual saya. No, saya tetap tolak kerana saya tidak mahu susahkan banyak pihak di kemudian hari. Biarlah, saya hilang satu job, tapi untuk job yang lain saya mampu beri komitmen 100 peratus.
Tidakkah terbeban dengan jadual kerja sebagai penyampai Era FM, harus tepati masa setiap jam 6.00 pagi saban hari?
Saya fikir begini, apabila saya perlu bangun untuk kerja seawal Subuh, ia sekali gus menggerakkan saya untuk tidak tinggal solat Subuh. Ia dah jadi dua dalam satu, sambil bekerja sambil mendisiplinkan diri.
Pada saya, kalau nak ikat hati untuk patuh penuhi lima waktu solat sehari, Subuh adalah kata kuncinya kerana apabila kita berjaya kerjakan solat Subuh, solat-solat yang lain pasti kita sayang nak tinggal lantaran kita teringat tadi, di permulaan hari kita sudah mulakan sesuatu yang baik kenapa tidak kita teruskan hingga Isyak?

 

Apa yang menjurus Johan memilih bidang lawak?

Terus-terang cakap, saya belajar memang tak pandai, tapi cuba bagi mikrofon, satu sekolah boleh gelak. Disebabkan terlampau nakal dulu, mak hantar saya ke sekolah pondok. Walaupun mulanya terpaksa, lama-lama keikhlasan itu datang. Biasalah, setiap perkara baik perlu bermula dengan paksaan. Kemudian baru menjadi kebiasaan dan keseronokan untuk dilakukan dari hati.

Selepas itu, saya berniaga otak-otak di Ampang. Dari situ juga, saya belajar buat marketing dan berjenaka dengan pelanggan. Saya memberanikan diri memasuki pertandingan Raja Lawak dengan bersandarkan pengalaman hidup semata-mata. Kalau tengok peserta lain ketika Raja Lawak 1 dulu; Zizan, Pak Yus, Taukeh dan Angah, mereka semuanya mempunyai latar belakang teater, yang mana mereka ada basic tentang penggunaan pentas dan lakonan.

Sedangkan saya memang zero. Tapi, saya yakin dengan pengalaman hidup yang saya ada, itu yang saya sajikan sebagai modal untuk berlawak.

Biasanya budak yang nakal waktu kecilnya menjadi bijak apabila dewasa. Bijak bukan sekadar akademik tetapi bijak ‘survive’ dalam kehidupan. Dan, untuk berlawak, seorang pelawak itu perlu kaya pengalaman, setuju?

Siapa tak kenal saya di Ampang? Merempit sana-sini. Tapi, sekarang kalau angkat tangan, polis dah tahu itu Johan, boleh kasi lepas. Hahaha… Biasalah, ini kampung kita (Kuala Lumpur).

Saya kalau ke KLCC pun boleh berkain pelikat semata-mata. Orang selalu kata saya ini selekeh. Saya kata, buat apa nak bersegak-segak, ini kampung saya. Orang yang baru masuk kampung saya mungkin excited nak bergaya. Begitu juga dengan latar belakang kehidupan saya. Ya, saya budak nakal dan anak orang susah. Itu pengalaman berharga saya yang mungkin orang lain tiada.

Selain berniaga otak-otak, saya juga selalu busking di Central Market dulu. Semua orang tahu Central Market itu tempatnya bagaimana? Segala jenis manusia ada di situ. Saya jenis yang suka memerhatikan gelagat orang kerana dari situlah saya dapat menyelami pelbagai ragam dan kerenah manusia. Ilmu, semua orang boleh belajar, tetapi pengalaman dan pengetahuan itu, hanya orang yang membawa dirinya ke situasi itu yang mampu memilikinya.

Johan berjaya mencipta banyak ‘trademark’ seperti Mak Jemah, Linda, Mail Lambong, Ah Chai dan Rozi Tiger, apa persediaan Johan sebelum memula persembahan?

Saya seorang yang memerlukan paper work atau perancangan idea sebelum melakukan persembahan. Ozlynn, antara yang selalu sediakan paper work saya, ia seperti sebuah sinopsis atau konsep.

Saya tidak suka keluar ke pentas berlenggang dengan otak kosong. Pelawak perlu lebih bijak daripada penyanyi mahupun pelakon. Seorang pelawak pasti boleh menyanyi dan berlakon tetapi seorang penyanyi atau pelakon belum tentu boleh berlawak.

Siapakah sebenarnya golongan peminat Johan?

Saya selalu marah peminat yang mengundi saya. Bukan apa, kebanyakan mereka ini terdiri daripada golongan yang bukan senang. Untuk mengundi saya, memerlukan prepaid dan mereka terpaksa mengeluarkan belanja untuk itu. Saya pernah susah dan saya tahu betapa bernilainya wang kepada orang yang tidak berwang. Namun, mereka tetap mahu menyokong saya dan mereka inilah yang menghargai karya lawak saya.

 

Johan, saya lihat meniti kejayaan setangga demi setangga. Tidak terus memandu laju ke puncak?
Biar kurang popular tetapi lebih pendapatan (ketawa). Biar jarang ada kerja tetapi sekali buat kerja, ia memberi pulangan lumayan. Ya, saya bekerja untuk duit, bukan untuk popular atau anugerah. Saya bekerja menyara anak isteri, jadi saya perlu tahu hala tuju saya. Ada yang kata disebabkan saya sudah kahwin, saya sukar popular, saya tak kisah.
Sebab itu, apabila saya menang tempoh hari, antara ucapan yang paling saya ingat adalah daripada Yus Jambu. Katanya, ‘Siapa kata pelawak dah kahwin tak popular?’ Sampai sekarang saya ingat.
Johan suka melayan laman sosial?
Jujurnya, tidak! Saya tidak punya Facebook. Twitter dan Instagram pun saya buat setelah pihak Era arahkan. Instagram @jozlynnhanania isteri saya yang banyak kemaskinikan manakala Twitter kebanyakannya berkaitan info dari Era FM saja yang saya retweet. Saya tidak suka melayan hal remeh di situ. Saya pernah melihat di depan mata saya, sepasang suami isteri sampai bercerai gara-gara Facebook.
Masa mula-mula melayan Instagram dulu, isteri saya pernah sampai menangis-nangis membaca komen dan fitnah orang di laman sosial.
Tapi saya pujuk dan kata kepadanya, ‘Tak apa, lagi banyak orang fitnah, lagi banyak rezeki yang kita dapat.’

 

Kenapa menolak untuk menyertai Maharaja Lawak Mega seterusnya?

Zizan memang ada mengajak, tapi saya menolak. Sampaikan Zizan bergurau tanya, ‘Berapa pendapatan kau ni Johan, sampai tak nak masuk?’ (ketawa). Cukuplah. Beri kepada orang lain pula. Dan saya sangat gembira apabila mengetahui Zero memenanginya. Itulah rezeki mereka.

Mengapa Johan mempunyai dua watak berbeza di dalam dan di luar waktu kerja?

Saya perlu membezakan antara Johan di waktu kerja dan Yazid Lim (nama sebenar Johan) di luar waktu kerja. Ketika sesi uji bakat Raja Lawak dulu, kami diminta  mencari nama pentas sendiri.

Kebetulan, saya terpandang kain rentang yang memaparkan ‘Kejohanan Bola…” Terus saya letakkan nama Johan.

Berbalik kata saya serius di luar waktu kerja, ya terutamanya dengan anak-anak. Saya memang tegas mendidik anak. Pernah satu ketika, saya sedang bercakap dengan anak, seorang peminat datang menepuk bahu dan menegur, saya terpaksa cakap kepadanya, “Saya sedang bercakap dengan anak saya, tolong beri ruang.”

Ozlynn: Cuma yang terkilannya, apabila orang tak faham. Ada yang menganggap pelawak ini perlu sentiasa berlawak 24 jam. Ada sesetengah peminat yang datang menerpa, menepuk, menolak kepala Johan seolah-olah suami saya badut.

Ada juga yang akan kata, “Eleh, Johan jangan nak poyo la! Kata lawak sangat, buatlah lawak sekarang.”

Perkara-perkara begini yang adakala menguji kesabaran. Kalau dulu, ada juga Johan menjawab tetapi sekarang, saya nasihatkan agar diam, biar saya yang uruskan.

Memang saya pernah bergaduh, bertengkar. Maaf, saya tidak boleh bertolak-ansur dengan orang yang mempersendakan ‘imam’ saya. Mereka perlu tahu, orang yang mereka tolak-tolak kepala itu adalah orang yang memberi saya dan anak-anak makan. Selain dia suami saya, saya juga pengurusnya. Jadi, saya ada hak mempertahankan artis saya.

Ozlynn dilihat selalu memperagakan beg-beg mewah sehingga ada yang kata Johan memanjakannya dengan kemewahan, betul?

Seperti yang saya katakan tadi, saya bekerja untuk keluarga. Saya percaya pada rezeki selepas kahwin kerana itu kalau orang kata berkahwin buat kamu hilang job saya akan kata ‘berkahwin itu jodoh, tak kahwin itu bodoh’. Tak siapa tahu siapa yang bersama saya ketika saya susah dulu? Saya kenal Ozlynn sejak sekolah lagi dan bercinta ketika saya masih menjual otak-otak.

Ketika dia sudah jadi artis, dia masih bersama saya, dia yang belikan baju saya, pinjamkan keretanya kalau keluar dating. Sedangkan kalau dia mahu, dia boleh cari lelaki lain yang lebih kaya. Apa sangat yang saya berikan dia hari ini berbanding apa yang dia korbankan dari dulu? Malah, syarikat ini pun saya tubuhkan untuk dia. Ini bukan soal memewahkan tetapi tanggungjawab.

Saya lelaki, kalau ditakdirkan saya susah semula, saya boleh tidur di surau atau merempat tapi anak isteri, mana mungkin saya biarkan begitu?

Bagaimana cara didikan Johan terhadap anak-anak?

Saya garang. Solat menjadi perkara paling penting. Masa bermain, mereka boleh bermain apa saja. Malah, selalu saya beritahu isteri dan pembantu rumah, kalau saya sedang solat dan anak saya datang mengganggu seperti memanjat belakang saya, saya suruh mereka biarkan saja. Itu mungkin masa dia tengah seronok untuk bermain dengan saya.

Tetapi, kalau mereka buat salah, siaplah. Tak perlu cakap banyak, cukup saya tarik buckle tali pinggang, masing- masing dah minta maaf. Selalunya, saya pukul di tapak kaki mereka saja kerana di situ kulitnya tebal dan ia digalakkan untuk merangsang perjalanan darah mereka terus ke minda.

Bukan kata anak-anak sendiri, malah kalau ada anak-anak kawan atau jiran yang datang ke rumah, kami layan seperti anak sendiri juga. Apabila tiba waktu solat, saya ajak semuanya tinggalkan Play Station dan berjemaah bersama.

Alhamdulillah, anak-anak mahu mendengar kata dan mereka jenis yang mudah dibawa ke majlis atau rumah orang. Sebab mereka tidak akan berani buat hal atau mengusik barang-barang orang kerana disiplin yang kami terapkan bermula dari rumah. My home, my rules. Anak-anak juga belajar mengaji dengan Ozlynn saja.

Pernah dulu, saya menghantar anak mengaji di luar tetapi berlaku satu insiden anak saya diikuti seseorang yang tak dikenali. Orang tu sergah anak saya, “Kamu ni anak Johan Raja Lawak ye?” Terus dia lari balik ke rumah. Mujur tak ada apa-apa yang berlaku tapi ia memang menakutkan.

Khabarnya, Johan antara artis yang suka beramal. Boleh kongsikan?

Tak payahlah.

Ceritalah. Bukan untuk menunjuk, anggaplah dakwah Johan juga, mengajak orang lain sama beramal.

Saya cuma berkongsi apa yang saya ada. Saya percaya pada keajaiban sedekah. Lagi banyak yang kita beri, lagi banyak yang diperolehi. Saya pernah menerima infak dan apabila saya mampu untuk menginfak, mengapa tidak giliran saya pula?

Saya umpama pokok yang berada di puncak, sesekali saya perlu kembali ke akar untuk terus menyuburkannya. Selalunya, pada hari Jumaat petang saya akan membawa isteri dan anak-anak mencari rumah anak-anak yatim dari pelusuk negeri. Kadang-kadang, ada rumah anak yatim yang jauh terperosok itu sangat daif berbanding yang ada di ibu kota.

Anak-anak saya, saya biasakan bersama anak-anak yatim ini supaya mereka sedar diri. Saya kata kepada anak- anak saya, setiap mereka saya akan hanya berikan sebuah rumah. Kalau mahu harta yang lain, sila cari sendiri. Saya pernah susah dan saya mahu mereka juga berdikari.

Pernah saya marah mereka makan tak habis. Saya kata, “Papa dulu nak makan ayam seminggu sekali pun belum tentu, kamu yang dah hari-hari makan sedap, nak habiskan pun payah.”

 

Setahu saya, Johan memang suka beramal dengan kanak-kanak, sampaikan pernah mengadakan majlis meraikan kanak-kanak berhabis ratusan ribu. Kenapa?
(Enggan ulas mulanya). Setiap kali saya menggembirakan kanak-kanak, saya selalu cakap kepada mereka, “Papa (panggilan anak-anak yatim kepada Johan) tak minta apa-apa, cuma Papa minta doakan Papa saja.” Kanak-kanak ini suci bersih, tak ada dosa. Setiap doa mereka diangkat terus ke langit tanpa hijab.

 

Apakah momen yang menyentuh hati Johan selama bekerja ini?
Pernah satu ketika, saya shooting di rumah orang tua-tua di Cheras. Saya pergi kepada seorang pak cik ni, saya hulurkan sedikit wang, serta-merta dia angkat tinggi tangannya dan berdoa dengan doa yang sungguh menyentuh hati kami.
Suasana terus sunyi. Saya toleh ke belakang, mulanya tadi ramai yang berada di belakang saya, tengok-tengok semua dah ‘Bersamamu’. Ada yang tersandar di tepi tingkap, bergenang air mata, isteri saya ni jangan cakaplah, dah banjir. Seorang lagi pak cik ni, sedang duduk tertunduk, saya hulurkan juga wang. Dia tak ambil. Hairan saya. Rupa-rupanya, pak cik ni buta. Teraba-raba dia mencari di mana tangan saya? (ketika ini, mata Ozlynn sudah berair).

 

Ozlynn: Saya memang sensitif bab-bab orang tua. Sentiasa teringatkan mak ayah. Sebenarnya, dari dulu lagi, mak mengajar saya tentang mencari keberkatan daripada berbuat kebajikan. Ketika mula-mula saya jadi artis dulu, setiap bulan saya akan beri sejumlah wang kepada mak dan sejumlah lagi saya simpan untuk kegunaan sendiri. Tetapi, bahagian saya itu juga, mak akan minta.
Mulanya, saya rasa marah kerana terasa mak pentingkan diri tetapi tak lama lepas itu mak bawa saya ke supermarket. Mak kata, lepas ni saya kena buat sendiri benda ni. Rupa-rupanya, duit yang mak ambil selama ini, mak gunakan untuk membeli barang keperluan orang susah seperti beras dan sebagainya.
Pelawak dulu tidak seperti pelawak sekarang, yang mampu hidup mewah?
Saya percaya pada kata-kata ‘kejayaan seorang lelaki, di belakangnya adalah seorang wanita’. Pelawak atau sesiapa pun mampu mencipta kejayaan dengan adanya perancangan yang baik.
Saya sedar, saya tidak bagus dalam perancangan kewangan, justeru saya serahkan kepada isteri untuk menguruskannya. Kadang- kadang, duit nak belanja harian pun saya minta kepada isteri.
Kalau ada yang kata saya kena queen control, saya beri pantun, “Anak Cina masuk kampus, pergi mampussss… hahaha!” Tak adalah, bagi saya, kepercayaan itu penting. Saya sudah puas enjoy, sudah puas susah, sudah rasa semuanya. Tiada apa lagi yang saya mahu.
Usia Johan baru 32 tahun, tetapi apa yang Johan ada sekarang dan cara pemikiran seolah-olah sudah berusia benar. Kalau ada yang kata Johan tua sebelum usia?
Saya kata, mati tak kira tua. Alhamdulillah, Allah berikan segala-galanya kepada saya pada usia yang muda. Saya ada isteri, empat anak dan semua yang saya impikan. Kadang-kadang, saya sendiri macam tak percaya apa yang saya ada sekarang ini. Apa lagi saya nak?
Kalau dulu saya mahu kereta itu ini, semua saya dapat sekarang tetapi akhirnya ke mana-mana dengan motor buruk itu juga yang saya suka. Adakala apa yang kita mahu itu semua nafsu bukan keperluan. Bagi saya, kematangan sebelum usia adalah pengaruh daripada gaya kehidupan sejak kecil. Saya membesar dikelilingi orang berusia dengan pelbagai pengalaman hidup. Saya bekerja mencari duit sendiri sejak kecil.
Saya masih ingat, hanya kerana teringin nak makan ABC, saya sanggup kerja jual besi. Inilah pengalaman yang tidak ada pada anak orang kaya dan mungkin anak saya sendiri.
Apa nasihat Johan kepada pelawak baru dan Johan sendiri bagaimana memastikan komedi Johan sentiasa relevan?
Kena selalu update bahan lawak yang dipersembahkan. Perlu alert dengan perkembangan semasa, apa yang sedang viral dan dimahukan penonton? Kadang-kadang tak perlu Facebook, kami lebih suka tanya kepada orang dan membuat survey sendiri. Daripada situ, kita tahu apa bahan yang memungkinkan orang untuk ketawa.
loading...

0 Response to "Johan Raja Lawak Kongsi Kisah Suka Duka Sebelum & Selepas Popular Yang Buat Ramai TERPANA !!! |CANTIK pejabat Johan, memang selalu luangkan masa di sini? Kenapa syarikat ini dinamakan JWH?"

Post a Comment

Comments system

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close