loading...
Surat Terbuka Buat Bapa Saudara Guna Duit Derma Anak Yatim
Kisah menggunakan duit derma anak yatim kini menjadi topik hangat.
Bapa saudara mereka bernama Faizznur didakwa pecah amanah dan menggunakan wang derma anak yatim tersebut.
Dakwaan ini dibuta oleh kakak Faizznur sendiri yang kini menjaga anak-anak yatim tersebut.
Kerana kes ini, seorang anak yatim yang kini bekerja sebagai seorang kaunselor telah meluahkan perasaannya.
Dia pernah dianiaya oleh bapa saudaranya yang songlap duit derma untuknya sebagai anak yatim.
Jom baca:
Assalamualaikum. Hai, nama saya Amani, graduan UIA dalam bidang psikologi dan kini memegang jawatan sebagai seorang kaunselor di sebuah jabatan kerajaan.
Saya juga merupakan seorang anak yatim piatu yang kematian ibu dan ayah ketika masih kecil.
Saya terbaca tentang keadaan dua anak kecil yang 'dimakan' haknya oleh bapa saudara sendiri.
Mungkin ramai yang tidak tahu kesan dan akibat daripada perbuatan terkutuk ini terhadap golongan-golongan terpilih seperti kami. Jadi, dengan lafaz bismillahirahmanirahim, saya tulis surat ini untuk Encik Faizz agar dapat diteliti dan diamati dengan jiwa yang tenang.
Saya kematian ibu dan ayah pada usia 7 tahun dan kini saya berusia 26 tahun. Mungkin nasib saya sedikit baik sebab saya sudah memahami apa itu kematian. Saya juga mempunyai dua orang abang dan mana masing-masing bekerja sebagai pegawai bank dan pensyarah di UiTM.
Ketika ibu dan ayah meninggalkan kami, kami pada awalnya 'dijaja' kononnya bapa saudara kami akan membela kami kerana dia mempunyai pekerjaan yang bagus dan boleh menampung kami tiga beradik yatim piatu. Malangnya, kata-kata itu semua hanyalah tinggal kata-kata si bapa saudara yang kami panggil sebagai Pak Ya.
Ya, Pak Ya seorang yang agak berada. Arwah ibu kami ialah kakak kandungnya dan arwah ayah pula anak tunggal. Jadinya sebelah arwah ayah kami tiada saudara mara.
Jadi awalnya semua bersetuju untuk kami tinggal bersama dengan Pak Ya. Lama juga kami tinggal dengan Pak Ya.
Tetapi zaman kami tak macam zaman anak yatim sekarang. Kami dulu walaupun tinggal dengan bapa saudara sendiri, kami dikerahkan untuk bekerja. Saya disuruh mengemas rumah setiap hari sebelum pergi ke sekolah dan selepas pulang dari sekolah. Abang Long dan Abang Ngah pula diarah untuk menolong atok saudara di bendang. Kami tidak dibenarkan berkawan dengan kawan-kawan kampung sebab menurut Pak Ya, anak-anak kampung otaknya tidak bagus.
Selang enam bulan kemudian, ibu saudara kami mendapat tahu yang kami diperlakukan seperti itu sehingga pelajaran kami terabai. Yuran persekolahan kami juga tidak dibayar. Malah, buku-buku sekolah kami diminta untuk berkongsi. Pakaian sekolah? Disuruh memakai pakaian dari lebihan baju anak-anak Pak Ya.
Ibu saudara yang kami panggil sebagai Umi, menanggis melihat keadaan kami. Pada ketika itu, Umi baru berusia 30-an dan masih belum berkahwin. Umi adik bongsu ibu yang sangat sayangkan kami. keadaan Umi dalam kejadian yang menimpa saya samalah juga sebagaimana ibu saudara mangsa DUKE yang sedih melihat nasib anak-anak saudara.
Umi membuat keputusan untuk mengambil kami bertiga untuk dijaganya. Pada ketika itu juga, Pak Ya bertegas untuk tidak melepaskan kami. Tahu kerana apa? Kerana Pak Ya menerima wang sumbangan dari orang kampung dan kawasan kejiranan ini. Pak Ya bimbang andai Umi mengambil kami, tiada lagi sumbangan yang akan diterimanya.
Umi berkeras untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa sekiranya Pak Ya enggan melepaskan kami. Maka selepas berbincang, kami tinggal dengan Umi.
Pada ketika itu, barulah kami merasa bahagia. Umi menjaga kami dengan penuh kasih sayang. Umi mengajar kami apa-apa yang kami tidak faham di sekolah dan turut mengajar kami bagaimana hidup tidak bergantung kepada orang lain.
Ramai yang melamar Umi tetapi Umi menolak dengan cara yang baik semata-mata mahu menjaga kami.
Cerita Pak Ya pula, dia masih lagi menerima sumbangan, bahkah cerita tentang perihal kami adik beradik yatim piatu dicanangnya ke merata tempat. Sehinggalah tabung anak-anak yatim buat kami penuh diterimanya.
Suatu hari, Umi pergi ke rumah Pak Ya kerana Umi kekurangan duit untuk membayar yuran pengajian Abang Long. Umi minta Pak Ya apa yang menjadi hak kami. Tetapi malangnya Pak Ya enggan memberi. Katanya duit itu adalah kepunyaannya kerana dia yang bersusah payah meminta daripada orang ramai untuk menderma.
Saya pada ketika itu berusia 15 tahun mula sedih dengan sikap Pak Ya. Sedih kerana Abang Long saya akan menyambung pengajian tetapi wang yang sepatutnye menjadi hak kami ditidakkan oleh bapa saudara sendiri. Umi berkeras meminta tetapi malangnya Umi dihalau keluar.
Akhirnya kami pulang dengan tangan kosong. Ketika itu saya melihat Umi termenung panjang. Dia berfikir cara terbaik untuk mendapatkan duit bagi membayar yuran pengajian Abang Long. Abang Ngah pula bakal menduduki peperiksaan SPM dan saya PMR. Umi kelihatan tua dari usianya kerana Umi letih mencari duit untuk menyara kami sedangkan Pak Ya bersenang lenang dan bermewah dengan duit sumbangan yang sepatutnya diberikan kepada kami.
Malam harinya, kami melihat Umi menangis sementara menunggu waktu Isyak. Jadinya, Abang Long ajak kami tiga beradik untuk menceriakan Umi. Caranya, kami solat jemaah bersama-sama. Habis solat isyak, Abang Long berdoa dan sehingga kini saya masih lagi ingat doanya itu.
"Ya Allah, kami ini anak yatim paitu. Yang tiada sesiapa pedulikan kami melainkan ibu saudara kami. Dan kini ibu saudara kami ini sedang bersedih, maka kami memohon padaMu wahai Tuhan, tariklah nikmat kemewahan mereka-mereka yang menganiaya kami dan jadikanlah mereka manusia yang berada dalam kesedihan"
Selesai doa ini, Umi menangis lebih kuat dan memeluk Abang Long dan merayu agar menarik balik doa tersebut. Tahu kenapa Umi berbuat demikian? Kerana Umi takut abangnya terkena balasan atas penganiayaan yang dilakukan terhadap kami bertiga, anak yatim paitu.
Dan benarlah, doa anak-anak yatim, doa fakir miskin, doa orang-orang yang dianiaya tidak sesekali dibiarkan oleh Allah. Bahkan doa-doa golongan sebegini tiada hijab di sisi Allah.
Selang beberapa tahun, Pak Ya ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR yang kini SPRM) kerana mempunyai skandal rasuah. Atas kesalahan itu, seluruh harta Pak Ya disita dan semua wang simpanannya habis dibekukan.
Pada masa yang sama, anaknya sakit teruk dan isterinya pula meninggal dunia. Pak Ya bagaikan orang gila apabila sering meracau dan apabila bertemu dengan kami, Pak Ya bagaikan tidak keruan. Hidup Pak Ya tidak lagi seperti dulu.
Umi sedih melihat keadaan abangnya dan memohon kepada Abang Long dan kami semua untuk memaafkan Pak Ya dan seluruh keluarganya yang telah berbuat jahat dengan mengambil hak-hak kami dan menidakkan hak kami. Sehingga kini, Pak Ya hidup sebatang kara. Anak-anak semua mengabaikan dia dan Pak Ya kini dihantar ke pusat jagaan orang tua.
Umi masih bersama kami, Umi tempat kami bermadu kasih. Umi sanggup berkorban kebahagiaannya untuk tidak berumahtangga demi membesarkan kami dan setiap hari jugalah Umi meminta kami agar memaafkan Pak Ya kerana kasihankan keadaan Pak Ya yang seteruk itu.
Namun bagi kami, melihat kesedihan Umi jauh lebih kami fikirkan berbanding kesedihan Pak Ya. Sehingga kini kami bertiga masih belum mampu 'menghalalkan' duit yang digunapakai oleh Pak Ya untuk kepentingan dirinya dan keluarga. Bagi kami, biarlah Allah sahaja yang menentukan pengakhiran hidup Pak Ya.
Jadi, nasihat saya kepada Encik Faizz, beringatlah. Doa anak-anak yatim itu tiada hijabnya di sisi Allah lebih-lebih lagi mereka masih dalam keadaan suci bersih hatinya. Moga Encik Faizz masih mempunyai masa yang cukup untuk menggantikan duit anak-anak yatim itu andai benar Encik Faizz menggunakannya.
Sekalipun mereka masih kecil, mereka tiada siapa untuk melindungi, mereka masih mempunyai Allah yang melihat setiap air mata mereka. Ya Maha Mendengarkan doa-doa malam hari mereka. Yang Maha Mengetahui isi hati mereka. Jangan sampai Allah terbalikkan kesedihan mereka terhadap keluarga Encik Faizz. Ketika itu tiada lagi jalan untuk Encik Faizz berjalan dan tiada lagi ruang untuk Encik Faizz mencari peluang.
Semoga surat ini mampu 'menjentik' hati kecil Encik Faizz sekeluarga untuk bertaubat.
Salam Ibrah dari saya.
Nur Amani, si yatim piatu.
Si Anak Yatim Piatu
Kisah ini diluahkan di laman FB IIUM Confession oleh seorang anak yatim yang pernah dianiaya.
loading...
0 Response to "Surat Terbuka Buat Bapa Saudara Guna Duit Derma Anak Yatim "
Post a Comment